Wednesday, October 7, 2009

Sejarah dan Peristiwa Tawaf-Saie-Melontar-Wukuf

Tawaf
Mengelilingi Kaabah (tawaf) merupakan ibadat turun temurun di kalangan golongan Arab. Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. bersama-sama rombongannya berhijrah ke Madinah, mereka telah tidak melakukan ibadat ini buat sekian lama. Hinggalah tiba pada satu ketika bila mereka berasa teramat rindu untuk kembali ke Mekah untuk melakukannya. Mereka menyuarakan keinginan ini kepada Rasulullah dan baginda telah bersetuju untuk bersama mengerjakannya. Lalu mereka berangkat menuju ke Mekah. Malangnya, perjalanan mereka dihalang oleh kaum Quraisy yang ketika itu menjaga Mekah kerana memikirkan bahawa rombongan Muhammad ingin menyerang Mekah. Rundingan dijalankan dan terhasillah Perjanjian Hudaibiah. Rombongan Nabi Muhammad tidak dapat mengerjakan haji pada tahun tersebut sebaliknya mereka telah mengkembali pada tahun berikutnya untuk mengQada haji yang tak terlaksana.

Saie
Saie adalah satu perbuatan bagi mengingati peristiwa Siti Hajar yang berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mencari air untuk dirinya sendiri dan anaknya Nabi Ismail a.s. Ketika itu dia telah ditinggalkan di situ oleh suaminya Nabi Ibrahim a.s.

Melontar Jumrah
Allah Taala telah menguji Nabi Ibrahim dengan memerintahnya untuk menyembelih Nabi Ismail. Dengan persetujuan Nabi Ismail sendiri, Nabi Ibrahim terus bersedia untuk menyempurnakan perintah Allah. Sebelum penyembelihan dijalankan, Iblis telah berkali-kali menghasut Nabi Ibrahim agar tidak melakukannya. Tujuan Iblis hanyalah supaya Nabi Ibrahim tidak melaksanakan perintah Allah. Tetapi Nabi Ibrahim tetap cekal untuk meneruskan apa yang perlu dilakukannya. Untuk menghalau Iblis, Nabi Ibrahim mengambil batu lalu merejam Iblis yang menghasutnya itu berkali-kali.
Melontar Jumrah diumpamakan seperti melontar Iblis dan Syaitan sebagai mengingati peristiwa semasa Nabi Ibrahim a.s. hendak mengorbankan Nabi Ismail a.s.

Nota: Nabi Ismail akhirnya tidak dikorbankan. Sebaliknya Allah Taala menurunkan seekor kibas sebagai ganti.

Wukuf di Arafah
Mari kita mengimbas kembali peristiwa di mana Adam dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali! Di mana mereka bertemu? Tidak lain dari Padang Arafah iaitu di Jabar Rahmah. Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah. Akhirnya permohonan mereka diterima Allah. Maka Padang Arafah ini menjadi tempat kita menyesali segala dosa yang pernah kita lakukan dan di situlah kita boleh memohon pengampunan daripada Allah semoga permintaan kita diterima.

sumber dari
http://www.geocities.com/Athens/8999/believe/hajj/sejarah.htm

No comments:

Post a Comment